Pada tahun 1983, sekumpulan operator radio dari Jerman iaitu Gero DJ3NG, Diethelm DJ4EI, Norbert DF6FK dan Baldur DJ6SI telah memutuskan untuk memulakan ekspedisi ke Amboyna Cay, salah satu pulau dalam kepulauan Spratly.

Ekspedisi itu dirancang untuk mewujudkan stesen radio amatur pertama di Amboyna Cay. Mereka berharap dapat membuat beribu-ribu hubungan dengan pengendali radio amatur lain dari negara dan benua yang berbeza.

Mereka telah menaiki kapal terbang ke Amsterdam dan dari sana mereka menaiki satu lagi kapal terbang untuk ke Singapura.

Di Singapura, mereka telah menyewa kapal layar yang dimiliki oleh Henner 9V1WC dan dikemudi oleh Kapten Peter. Ketika belayar di lautan Natuna dan Anambas, mereka sentiasa berhubung dengan SEANET, Henner 9V1WC dan beberapa stesen maritime mobile yang lain.

Bagaimanapun, pengembaraan mereka bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka tiba di Amboyna Cay dan telah ditembak oleh tentera Vietnam yang melepaskan tembakan ke arah kapal layar mereka dengan mesingan. Tembakan itu membunuh kapten kapal dan kapal layar itu terbakar. Tangki gas meletup dan membunuh salah seorang dari operator radio amatur iaitu Diethelm DJ4EI yang berada berdekatan dengan tangki gas ketika itu. Operator yang lain berjaya melarikan diri dari kapal layar yang terbakar itu menggunakan sampan.

Hari-hari berikutnya, mereka hanyut di laut terbuka dalam kelaparan, dahaga dan ribut. Mereka cuba memberi isyarat meminta bantuan dengan sebuah plat besi, tetapi tiada siapa yang melihatnya. Salah seorang dari mereka iaitu Gero DJ3NG telah mati akibat meminum banyak air laut.

Beberapa hari berikutnya, mereka akhirnya dikesan oleh sebuah kapal tangki Jepun bernama MS Linden yang menyelamatkan mereka dan telah membawa mereka ke Hong Kong. Mereka telah dirawat di Hospital Queen Mary.

3 nyawa telah melayang, kerugian peralatan radio sebanyak USD 10000, pakaian dan duit tunai bernilai USD 3000 tidak termasuk kapal.

By 9M2PJU

An amateur radio operator, military veteran, jack of all trades and master of none.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!