Sejarah Radio Amatur Di Malaysia Melalui Kad QSL
Kad QSL merupakan salah satu medium pengesahan perhubungan atau contact bagi stesen-stesen radio amatur dari zaman dahulu sehingga kini. Walaupun pada masa kini telah wujud sistem pengesahan berteknologi tinggi seperti Logbook Of The World (LOTW), masih ramai operator radio amatur memilih untuk menggunakan kad QSL. Kad QSL mempunyai nilai sentimental yang tinggi bagi sesetengah operator radio amatur. Ini adalah kerana kad QSL dapat memberi bayangan kepada stesen penerima kad QSL akan dunia dan individu yang mereka pernah berhubung di udara melalui design sesebuah kad QSL. Kad QSL juga mempunyai nilai sejarah yang tinggi. Setiap rekod perhubungan dapat dibuktikan dengan adanya kad QSL. Sejarah perhubungan radio amatur sesebuah negara dengan negara yang lain dapat dibuktikan dengan adanya kad QSL. Pada zaman dahulu, kemudahan internet atau sistem telekomunikasi lain agak terhad kerana kos yang tinggi dan juga infrastruktur yang belum ada di sesebuah tempat.
Pada zaman dahulu, sistem telekomunikasi radio merupakan satu sistem perhubungan yang berkos tinggi dan cuma mampu dimiliki oleh orang dan juga pihak tertentu sahaja. Tetapi, pada masa kini kebanyakkan rakyat sudah mempunyai telefon pintar sekurang-kurangnya seorang satu. Mari kita lihat sejarah perhubungan radio amatur di Malaysia melalui bukti-bukti kewujudan kat QSL berikut.
Saya tidak dapat memastikan bahawa prefix 3 merupakan prefix yang telah diberikan kepada Malaya kerana saya tidak dapat menemukan sebarang dokumen mengenai prefix ini tetapi jika dilihat pada kad QSL ini tertulis AMBER ESTATE, JOHORE, MALAYA. Johor merupakan salah satu negeri di dalam Malaysia dan amber estate memang wujud di negeri Johor. Tarikh QSO tidak dapat dikenalpasti.
VS1GZ, callsign bagi Royal Airforce Changi Amateur Radio Club atau Kelab Radio Amatur Tentera Udara DiRaja Changi. Bertempat di Changi, Singapura dan pada ketika itu Singapura adalah negeri di bawah Malaysia (keluar dari Malaysia pada ogos 1965). Perhatikan biro QSL yang digunakan adalah biro QSL dari Malayan Amateur Radio Transmitters Society dan pada ketika ini adalah Malaysian Amateur Radio Transmitters Society (MARTS). MARTS merupakan kelab radio amatur peringkat kebangsaan yang juga merupakan wakil dan ahli kepada International Amateur Radio Union (IARU).
VS1JW, ketika Singapura masih lagi dibawah Malaysia, prefix VS1 digunakan bagi stesen radio amatur yang beroperasi di Singapura walaupun ketika itu Singapura dikira sebagai negeri dalam West Malaysia atau Malaysia barat.
Kad QSL ini merekodkan perhubungan di antara VS1LQ bersama VE8RG, satu stesen radio amatur di Kanada. Bertarikh 29.4.1963. Perhatikan setem yang digunakan, 2 keping setem bertulis SINGAPORE dan sekeping setem bertulis MALAYSIA. Jumlah nilai setem yang digunakan adalah 46 sen sahaja.
Jika dilihat dari QSL-QSL kad ini, kebanyakkan stesen adalah bertempat di Royal Air Force Changi di Singapura. Kemungkinan besar stesen radio amatur ini sangat aktif ke udara pada ketika itu dan kebanyakkan operatornya adalah “mat salleh” dan sistem antenna yang digunakan lebih kepada simple wire antenna. Operator-operatornya adalah tentera jika dilihat pada pangkat dan nama yang tertulis pada kad QSL ini.
Saya tidak dapat kenalpasti di mana Kem Calcutta tetapi yang pasti ianya di dalam Singapura yang ketika itu adalah negeri di bawah Malaysia. Lokasi adalah di 263 Skuadron Semboyan.
VS2CV, callsign radio amatur bagi cawangan semboyan, ibupejabat polis di Kuala Lumpur. Kemungkinan besar stesen ini bertempat di bukit aman ataupun di ibupejabat polis kontijen. QSL kad ini merekodkan perhubungan di antara satu stesen Amerika dengan VS2CV dalam mod CW (kod Morse) dan menggunakan dipole sebagai antenna.
VS2DD, callsign radio amatur bagi 40th Royal Marines Commando. Satu pasukan elite yang telah melatih Gerup Gerak Khas (pasukan elite bagi tentera darat Malaysia). Tidak dapat dipastikan di mana lokasi stesen ini tetapi jika dibaca pada sejarah penubuhan Gerup Gerak Khas, latihan yang dianjurkan oleh 40th Royal Marines Commando adalah bertempat di Kem Majidee, Johor. Berdekatan dengan Singapura. QSL kad ini merekodkan perhubungan menggunakan kod Morse bersama stesen dari Amerika iaitu W6RXW dan operator VS2DD pada ketika itu adalah Sarjan Bill Mordue yang juga mempunyai callsign peribadinya iaitu G3FGD dan ZB1AQ. Kemungkinan besar Sarjan Bill Mordue adalah seorang operator radio di dalam 40th Royal Marines Commando.
VS2DF, callsign radio amatur bagi Rejimen Semboyan Malaya. QSL kad ini merekodkan perhubungan di antara VS2DF bersama W7OEB menggunakan homebrew transmitter dalam mod CW (kod Morse) pada frekuensi 14MHz bertarikh 20 Jul 1953. Tidak dapat dipastikan di mana lokasi sebenar tetapi ianya di sekitar Kuala Lumpur.
Saya tidak dapat memastikan bila callsign 9M2 digunakan kerana saya masih lagi mencari dokumen mengenainya. Jika dilihat pada tarikh kad QSL ini, 9M2AR merupakan callsign bagi Kelab Radio Amatur Polis yang bertempat di Sekolah Latihan Semboyan, Jalan Gurney, Kuala Lumpur. kad QSL ini merekodkan perhubungan di antara stesen kelab radio amatur polis bersama satu stesen radio amatur di Finland, iaitu OH2BT. Operator 9M2AR pada ketika itu adalah 9M2FM. Kemungkinan besar beliau adalah seorang pelatih ataupun jurulatih di Sekolah Latihan Semboyan Polis pada ketika itu.
9M2CR, callsign peribadi bagi Collin Richards, lokasi di Ibupejabat Telekom, Kuala Lumpur. Bertarikh 27 Jun 1968. Menggunakan transceiver KWM2 bersama 3 elements beam antenna. Kemungkinan besar beliau juga mempunyai callsign di United Kingdom kerana arahan QSL menyatakan QSL direct kepada beliau ataupun melalui Radio Society of Great Britain (RSGB).
9M2ZA, callsign operator yang saya kenali, Zainal Farid. Rekod perhubungan pada tahun 1989 dalam mod CW. Lokasi pada ketika itu adalah di Taman Melawati, Kuala Lumpur.
9M4GZ, callsign Kelab Radio Amatur Tentera Udara Changi. Tarikh tidak dapat dipastikan. Kemungkinan besar berlaku pertukaran callsign akibat dari pertukaran prefix dari International Telecommunication Union (ITU).
9M4RS Kelab Radio Amatur Semboyan DiRaja. Tidak dapat dipastikan lokasi tetapi masih di sekitar Singapura. Rekod perhubungan pada tahun 1965 dalam mod CW. Lihat RST nya, 599 adalah untuk CW. Operator pada ketika itu adalah 9M4MK.
QSL kad boleh dikira sebagai suatu bahan bersejarah. Ia menunjukkan rekod dan juga bukti aktiviti radio amatur pada sesebuah negara. QSL kad mempunyai nilai sejarah yang tinggi kerana kebanyakkan operator radio amatur adalah jujur dalam merekodkan perhubungan melalui radio. Dari QSL kad ini kita dapat mentafsir bagaimana manusia menggunakan sesuatu teknologi mengikut zaman. Kebanyakan rekod perhubungan dari QSL kad di atas menunjukkan CW atau kod Morse digunakan secara meluas pada ketika itu. Kemungkinan besar ramai peminat CW dan ujian CW masih dititikberatkan pada zaman tersebut. Radio amatur menjadi pilihan utama medium perhubungan.
Radio amatur masih lagi wujud sehingga kini. Tetapi, teknologi perhubungan sudah banyak berubah. Pada zaman ini, penggunaan internet sangat meluas. Lambakan media sosial, kewujudan telefon pintar sehinggakan seorang pelajar mampu membeli sebuah iPhone yang berharga sekitar 3 ribu ringgit. Jika kita imbas kembali pada zaman dahulu, kebanyakan orang yang berduit sahaja mampu memiliki sebuah telefon atur yang ketika itu sangat besar. Kebanyakan operator radio amatur yang beroperasi di Malaya merupakan orang luar yang sering dipanggil sebagai “mat salleh” dan kebanyakkan operator dan kelab adalah dikalangan tentera, polis dan juga syarikat telekomunikasi. Sesungguhnya teknologi mengubah manusia. Teknologi juga memudahkan manusia dan teknologi juga merosakkan manusia.
73 de 9M2PJU
Share this content:
0 comments